Search

Naik taraf, isytihar Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Pusat Pemunggahan Negara – Bobbey

April 4, 2023

admin

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat perlu menaiktaraf dan mengisytiharkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Pusat Pemunggahan Negara Kedua selepas Pelabuhan Klang, kata Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey Suan.

Katanya, dengan penaiktarafan dan pengisytiharan itu akan memudahkan proses mobilisasi industri eksport bagi komoditi utama Sabah yang melibatkan sektor-sektor prima seperti pertanian dan pembuatan serta mengaktifkan aktiviti perkapalan domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, cadangan akan memperkasakan dan merancakkan aktiviti perdagangan dan ekonomi merentasi wilayah selain mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan wilayah melalui aktiviti eko-pelancongan dan menggalakkan pelaburan asing secara langsung atau tidak langsung.

Selain itu, katanya, cadangan berkenaan juga mampu mengatasi dan mengimbangi perbezaan besar nilai harga bahan mentah dan harga barangan keperluan di antara Sabah dan Sarawak serta Semenanjung.

“Justeru saya mencadangkan kepada Kerajaan Pusat untuk mewujudkan strategi prima dan mekanisme menang-menang bagi menaiktaraf dan mengisytiharkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Pusat Pemunggahan Negara yang kedua selepas Pelabuhan Klang sebagai Pusat Pemunggahan Negara yang pertama di Malaysia”, katanya.


Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Negara, semalam.


Bobbey berkata, beliau mengulangi seruan yang pernah disuarakan pada Persidangan Dewan Negara tahun lalu kerana ianya belum dijawab oleh kementerian yang bertanggungjawab.

Katanya, untuk meringankan beban kerajaan selain memastikan pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road siap mengikut jadual yang telah ditetapkan, Kerajaan Persekutuan perlu mengelakkan pembinaan jalan laluan baru, sebaliknya mengambilalih dan menaiktaraf semua laluan balak sedia ada yang pada dasarnya juga merupakan laluan utama masyarakat setempat yang sudah mempunyai infrastruktur asas seperti tiang elektrik, sekolah, klinik kesihatan, parit dan saliran, akses jalan-jalan kampung dan sebagainya.

Menyentuh pendedahan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kasim Mansor bahawa Malaysia belum bersedia mendapat manfaat pembukaan Nusantara (Ibu Kota Negara Indonesia yang baharu) di Kalimantan apabila tidak bersedia dengan infrastruktur di kawasan sempadan antara Sabah dan Kalimantan, Bobbey berkata, tapak sempadan yang berpotensi antara Sabah dan Kalimantan masih tidak dibangunkan.


“Sehubungan itu, persoalan saya sejauh manakah kerajaan sudah benar-benar serius dan bersedia untuk mendapat kesan berganda (Multiplier Effect) daripada pembukaan Nusantara di Kalimantan?”, soal beliau.

Bobbey yang mengalu-alukan komitmen berterusan Kerajaan Pusat dalam pembangunan Sabah dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM6.5 bilion, berharap peruntukan untuk Sabah akan terus ditingkatkan setiap tahun supaya pembangunan wilayah Sabah setara dan setanding dengan pembangunan di Semenanjung dan pembangunan Nusantara di Kalimantan. – Info X