Search

Nasib 13 pelajar dituduh bunuh rakan diketahui 11 Jun

May 14, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Jun depan untuk pendengaran keputusan kes 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) yang dituduh membunuh seorang rakan sekolej pada Mac tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol menetapkan tarikh itu ketika prosiding semakan hujahan pendakwaan dan pembelaan pada Rabu.

Ketika prosiding itu, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa hujahan akhir di peringkat pembelaan sudah difailkan kedua belah pihak, namun ada beberapa hujahan yang baru difailkan.

Berikutan itu, pihak pendakwaan memohon masa untuk membalas hujahan berkenaan dan diberi tempoh sehingga 21 Mei ini untuk memfailkan hujahan balas.

Semua 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17.

Kejadian berlaku di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) antara jam 9 malam pada 21 Mac 2024 hingga 7.38 pagi pada 22 Mac 2024.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, dengan dibantu Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja terbabit pula diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye.

Baki lima lagi tertuduh masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin. – Info X