KOTA KINABALU: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Pulau Gaya, di sini, hari ini.
Mangsa Omar Ajid, 40, dikatakan keluar menangkap ikan kira-kira jam 5 pagi tadi dengan memakai baju lengan panjang warna merah dan seluar bercorak celoreng warna hijau.
Pada jam 10 pagi tadi, bot mangsa ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan enjin masih hidup di posisi 7.6 batu nautika utara Pulau Gaya.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, Pusat Operasi Maritim menerima maklumat berkaitan kejadian itu daripada isteri mangsa melalui panggilan telefon tengah hari tadi.
Katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi Carilamat kira-kira 2 petang tadi.
“Agensi-agensi penyelamat di laut serra pasukan sahabat yang lain telah dihubungi bagi membantu usaha pencarian mangsa.
“Sehingga kini masih tiada sebarang penemuan atau petunjuk,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun katanya, usaha mencari masih giat dijalankan sehingga kini. – Info X