Search

Nelayan Vietnam semakin berani, ‘rompak’ hasil laut dekat perairan bandar Sandakan

July 2, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Bukan saja tidak takut tindakan undang-undang, malah nelayan Vietnam semakin berani apabila dikesan menceroboh perairan dan menjalankan aktiviti menangkap hasil laut negara dekat dengan kawasan bandar pada kedudukan 11 batu nautika dari bandar ini, awal pagi semalam.

Lebih licik, nelayan Vietnam ini ‘merompak’ hasil laut iaitu gamat dalam keadaan gelap bagi mengelak aktiviti haram mereka dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan berani mereka menerima padah apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan bot nelayan berkenaan bersama lima lelaki warga Vietnam termasuk tekong di kawasan laut Gubbins Rock, di sini, jam 3.40 pagi.

Bot nelayan Vietnam yang ditahan kerana menangkap ikan pada kedudukan 11 batu nautika dari bandar Sandakan. – Foto/PPM

Menurut sumber, bertindak atas maklumat pencerobohan nelayan asing, sepasukan pegawai dan anggota PPM Sandakan dengan menggunakan bot ronda bergegas ke lokasi berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi berkenaan, anggota PPM menahan sebuah bot nelayan asing disyaki dari Vietnam kerana menceroboh perairan negara untuk menjalankan aktiviti menangkap hasil laut.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dijuragani seorang lelaki warga Vietnam berusia 35 tahun bersama empat awak-awak juga warga Vietnam,” katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, PPM Sandakan turut merampas satu tong berisi gamat dan peralatan khas untuk menangkap hasil laut gamat.

Peralatan yang digunakan oleh nelayan Vietnam menangkap hasil laut gamat. – Foto/PPM

“Anggaran keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil tangkapan dan peralatan berjumlah RM1.6 juta,” katanya.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

Katanya, tangkapan dan rampasan di bawa ke pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“PPM akan terus menjalankan rondaan di kawasan perairan negeri ini dalam usaha mengekang pencerobohan nelayan asing yang ‘merompak’ hasil laut negara,” katanya. – Info X