KOTA KINABALU: Ucapan Ketua UMNO Sepang, Datuk Noorazli Said pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati dan kitab Bible disifatkan sebagai tidak wajar dan menyentuh larangan 3R.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata ucapan Noorazli juga dilihat keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.
Tegasnya, perbezaan politik tidak memberi lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain bagi menarik perhatian atau tepukan orang ramai.
“Saya telah meneliti ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026, khususnya bahagian yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab).
“Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa ucapan tersebut amat tidak wajar, keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.
“Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atau tepukan orang ramai.
“Malaysia telah dibina atas asas masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Selepas lebih enam dekad kita hidup sebagai sebuah negara, amat mengecewakan apabila masih ada pemimpin yang memilih untuk menjadikan agama sebagai bahan jenaka politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Arthur yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata politik mempunyai batas, manakala kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan agama bukan bahan permainan.
“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin politik bahawa isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) bukan perkara yang boleh disentuh sesuka hati.
“Negara ini mempunyai perlembagaan dan undang-undang yang perlu dihormati bagi menjaga ketenteraman awam, keharmonian serta hubungan antara masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, BN ialah sebuah gabungan yang berdiri atas prinsip perpaduan, kestabilan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum serta agama.
“Kita tidak boleh bercakap mengenai perpaduan pada satu ketika tetapi pada ketika yang lain membiarkan agama orang lain dijadikan bahan jenaka politik. Prinsip ini mesti kita pegang secara konsisten, bukan hanya apabila ia menguntungkan kita.
“Kita boleh berbeza pandangan politik, mengkritik dasar dan berdebat dengan tegas. Namun, apabila agama dan kepercayaan orang lain dijadikan bahan gurauan, kita telah melangkaui batas kewajaran dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.
“Alasan bahawa ia sekadar ‘gurauan’ untuk menutup kesan dan sensitiviti yang ditimbulkan bukan sesuatu yang boleh diterima.
“Sehubungan itu, saya mendesak Datuk Noorazli Said supaya memohon maaf secara terbuka dan tanpa sebarang alasan atau berselindung, khususnya kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Kristian yang sudah tersinggung dan terluka dengan ucapannya,” katanya.
Ahli Parlimen Pensiangan itu juga menggesa semua pemimpin politik, tanpa mengira ideologi parti, supaya lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja.
Katanya, rakyat tidak mahukan politik yang membakar sentimen, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang menyatukan masyarakat. – Info X