Search

Ogingol cara Velvet promosi bahasa, budaya Kadazandusun

May 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Setelah sekian lama tersimpan, hasrat Velvet Aduk untuk mengeluarkan album berbahasa Dusun akhirnya menjadi kenyataan menerusi kelahiran ‘Ogingol’ yang boleh didapati di semua platform penstriman utama sejak 10 Mei lalu.

Penyanyi yang mula dikenali menerusi Akademi Fantasia satu ketika dulu itu mencipta dan menyanyikan sendiri kebanyakan daripada sembilan lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan.

Menariknya, semua sembilan lagu dalam Ogingol yang bermaksud cantik dalam bahasa Dusun menggambarkan kesungguhan Velvet dalam meraikan warisan dialek bahasa Dusun dan Kadazan yang berakar umbi dalam dirinya.

Velvet dibantu Brandon Laurie selaku kolaborator yang mengatur dan mengeluarkan bersama Ogingol dengan Andy O’Mail sebagai pemain gitar utama.

Malah, Brandon turut menunjukkan bakat sebagai penulis lirik menerusi lagu Kaandaman yang ditulisnya sendiri dalam bahasa Kadazan.

Bercakap mengenai album berkenaan, Velvet menyifatkannya sebagai inisiatif dirinya dalam mememelihara dan mengembangkan budaya yang diwarisi.

“Album ini adalah cara saya mempromosi dan memelihara budaya, sebagaimana apa yang kita buat setiap tahun ketika Kaamatan.

“Ia bukan setakat muzik, ia cara saya untuk belajar, mengingati dan memberikan semula (kepada masyarakat),” katanya.

Katanya, inspirasi untuk merakam lagu dalam bahasa ibundanya bermula di kampung halamannya di Inobong, Penampang yang mana Velvet dibesarkan dengan bercakap dan mendengar bahasa nenek moyangnya.

Liriknya menggambarkan kekayaan variasi linguistik bahasa Dusun dan Kadazan yang dituturkan di Sabah, menjadikan Ogingol sebagai sebuah album yang menjadi bukti ikhlas identiti budaya rantau ini.

Bagaimanapun, Velvet berkata ia bukan album tradisional lagu rakyat, sebaliknya Ogingol menggabungkan gaya kontemporari dan segar bagi mempersembahkan muzik Dusun dengan sinar yang baharu.

Katanya, dari penampilan moden hingga mesra radio, setiap lagu dalam album berkenaan memperlihatkan identiti muziknya yang unik.

“Saya mahu lagu Dusun yang kedengaran elegan dan ada kelas. Di dalamnya ada campuran gaya saya sendiri yang mudah untuk dinikmati pendengar, ia bukan lagu Dusun yang biasa,” katanya.

Katanya, album itu juga memaparkan lagu duet dengan rakan artis Sabah, Arddley Nicholas yang juga pemenang Vokal Terbaik Lelaki Anugerah Industri Muzik (AIM) 23’s menerusi lagu Nouyan.

Velvet berharap, menerusi album baharunya itu, ia dapat mencetuskan minat terhadap bahasa orang asal dan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menjaga akar budaya mereka.

Album Ogingol kini berstriman di semua platform muzik digital di seluruh dunia, antaranya di iTunes, Spotify dan YouTube Music.

Senarai lagu dalam album Ogingol:

Ogingol = Cantik
Nokosuai = Berubah
Bolintuongon = Pening
Mintogod = Marah-Marah
Miang-Miang Keladi
Kaandaman = Memori
Nouyan (featuring Arddley Nicholas) = Lelah
Kopiruba Wagu Insan Tadau = Bertemu Kembali di Suatu Hari Nanti
Koupusan Ginawo Ku = Cinta Hati Saya. – Info X