TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus mengkoordinasi Op Gasak Laut dalam usaha membanteras penyalahgunaan bot pam, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah lain yang boleh mengancam keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, hasil operasi terbabit dijalankan di sekitar perairan sepanjang Batu 3 sehingga Batu 5, Tawau bagi membendung penyalahgunaan bot pam yang sering digunakan oleh penjenayah rentas sempadan untuk aktiviti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan ESSZONE.
“Hasil operasi secara bersepadu membabitkan 96 pegawai dan anggota serta agensi penguatkuasaan dan memeriksa sebanyak 13 buah bot pam membabitkan 26 individu.

“Daripada jumlah itu, pasukan keselamatan merampas lima bot pam diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) manakala empat PATI ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau selepas melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkara ini amat dipandang serius dan Op Gasak Laut yang menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran serta menahan dan melupuskan bot pam yang tidak mempunyai lesen ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan Jenayah Rentas Sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan dan PATI.
“Kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen cegah rintang dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan Tawau khasnya.
“Justeru, saya merakamkan penghargaan kepada jabatan serta agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Kapal Diraja (KD) Sri Tawau.
“Penghargaan juga diberikan kepada Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Perikanan, Majlis Keselamatan Negara, JPDS, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Perbandaran Tawau dengan kerjasama bagi menjayakan Op Gasak Laut kali ini,” katanya.
Beliau juga menasihatkan semua pemilik bot pam di perairan ESSZONE supaya mendapatkan lesen secara sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

“Masyarakat di ESSZONE juga diminta agar terus membantu ESSCOM dengan melaporkan segera sekiranya terdapat aktiviti penyalahgunaan bot pam ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya. – Info X