KOTA KINABALU: Aktiviti haram pelupusan dan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) di Sabah terbongkar apabila 35 individu ditahan dalam Op Hazard 3.0 yang dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negeri, semalam.
Operasi bersekala besar bermula jam 9 pagi hingga 6 petang itu dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Serbuan dijalankan serentak di lapan daerah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Beluran, Keningau, Sook dan Semporna membabitkan 207 pegawai serta anggota pelbagai agensi.
Komander Briged Sabah PGA, Datuk Nor Omar Sappi berkata, semua suspek berusia antara 21 hingga 69 tahun terdiri daripada 27 lelaki tempatan, enam wanita tempatan dan dua lelaki warga asing.

Katanya, semakan mendapati semua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Pelbagai barangan dan peralatan berkaitan aktiviti e-waste turut dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM8,047,547.

“Rampasan membabitkan jentera dan mesin bernilai RM5.98 juta, bateri terpakai serta pepejal mampat RM1.94 juta dan cecair atau bahan kimia RM113,345,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan bagi membanteras serta mengawal aktiviti pengendalian sisa elektronik secara haram yang boleh menjejaskan alam sekitar dan keselamatan awam.
“Selain itu, tindakan turut diambil terhadap individu atau syarikat yang tidak mempunyai lesen atau permit sah bagi menguruskan sisa terjadual.

“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, termasuk Peraturan 9(4), Peraturan 10 dan Peraturan 11(1) yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuang sisa elektronik di tempat pembuangan sampah biasa.

“Sebaliknya, sisa berkenaan perlu dihantar ke pusat pengumpulan atau kitar semula yang sah bagi mengelakkan pencemaran serta risiko kepada kesihatan.
“PDRM khususnya Briged Sabah PGA komited untuk meneruskan penguatkuasaan secara konsisten tanpa kompromi, selain menggalakkan orang ramai menjadi ‘mata dan telinga’ dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti haram e-waste,” katanya. – Info X