SANDAKAN: Kegiatan menyimpan puluhan ayam sabung dipercayai baka import tanpa lesen sah terbongkar selepas dua premis di Batu 7, Jalan Airport di sini, diserbu dalam Op Taring Sangkar, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, dua lelaki ditahan manakala 87 ekor ayam disyaki ayam sabung bersama pelbagai peralatan dan ubat-ubatan berkaitan dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM529,245.
Operasi bersepadu itu dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Veterinar Sabah daerah Sandakan.
Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Azhar berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat berkaitan kegiatan penyimpanan ayam sabung dipercayai dibawa masuk dari luar negara tanpa permit sah.

“Hasil serbuan di lokasi pertama berjaya menahan seorang lelaki pemegang kad sementara berusia 30 tahun yang dipercayai pemilik premis.
“Pemeriksaan menemui 18 ekor ayam disyaki ayam sabung selain beberapa peralatan seperti glove taji, sangkar ayam, patung ayam palsu dan vitamin,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, serbuan di lokasi kedua pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan 69 ekor ayam disyaki ayam sabung termasuk yang ditempatkan di dalam kandang dan kawasan luar premis.
“Turut dirampas beberapa sangkar ayam, glove taji, picagari serta pelbagai jenis ubat dan vitamin dipercayai digunakan untuk penjagaan ayam sabung.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua premis tidak memiliki lesen sah berkaitan penyimpanan ayam sabung,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 kerana dipercayai mengimport haiwan tanpa lesen yang dikeluarkan Jabatan Veterinar Sabah.
“Tangkapan dan semua rampasan sudah diserahkan kepada Jabatan Veterinar Sabah daerah Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Operasi ini juga berjaya mengekang aktiviti penyeludupan dan kegiatan haram berkaitan ayam sabung di daerah ini,” katanya. – Info X