SANDAKAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menggempur beberapa lokasi di daerah ini menerusi operasi bersepadu yang membawa kepada penahanan 14 individu, membabitkan kes pendatang asing tanpa izin (PATI), narkotik serta pelbagai kesalahan lain, pada Khamis.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan di sekitar kawasan bandar Sandakan termasuk penempatan koloni setinggan, pinggir bandar dan kampung, selain pemantauan laluan kritikal yang dikenal pasti sering digunakan bagi aktiviti penyeludupan berhampiran sempadan daratan dan perairan.
Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi berkenaan bertujuan menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), selain mengekang penyusupan PATI serta ancaman jenayah rentas sempadan.

“Hasil operasi menyaksikan 13 lelaki dan wanita dewasa diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sandakan untuk tindakan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Manakala seorang lelaki diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, IPD Sandakan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta jabatan dan agensi Persekutuan, Negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Dalam operasi sama, Sabah Electricity melaksanakan pemotongan sambungan elektrik haram di beberapa lokasi sekitar daerah ini, membabitkan kerugian dianggarkan RM310,000 mengikut Seksyen 61B Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

“Jabatan Air Sabah (JAS) Sandakan mengesan beberapa kes sambungan paip air secara haram dengan kerugian dianggarkan RM27,215 di bawah Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sandakan mengeluarkan 137 saman trafik (POL 257) atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Dalam operasi sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM5,316.46 serta mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM1,200.

“Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pula merampas peralatan perniagaan tanpa lesen bernilai RM500 selain rokok tidak bercukai dianggarkan RM5,898 di sekitar kawasan pasar untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Victor berkata ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu selaras prinsip ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat keselamatan kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072. – Info X