Search

Operasi pembenihan awan ditumpukan di kawasan Papar, Lahad Datu dan Tawau

March 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Operasi pembenihan awan (OPA) bagi menghasilkan hujan yang dilaksanakan di Sabah mulai hari ini hingga Sabtu ini menyasarkan tiga daerah iaitu Papar, Lahad Datu dan Tawau.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata operasi itu dilaksanakan atas permintaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah berikutan situasi kemarau di Sabah ketika ini.

Katanya, NADMA bekerjasama dengan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bahagian Bekalan Air Labuan bagi melaksanakan operasi itu dari Pangkalan Udara TUDM Labuan.

Beliau berkata, bagi melaksanakan OPA, pesawat C-130 Hercules milik TUDM digunakan membawa empat tangki air yang mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air disediakan oleh pihak MetMalaysia.

“Pelaksanaan OPA ini bagi mendapatkan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas.

“Kemarau yang berlarutan sejak Februari lalu menyebabkan seramai 58,080 ketua isi rumah (KIR) dari 355 kampung di 12 daerah di Sabah berdepan masalah kekurangan bekalan air.

“NADMA juga memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta bagi menampung kos penghantaran bekalan air kepada penduduk terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kelengkapan untuk operasi pembenihan awan dimasukkan ke dalam pesawat pengangkut TUDM di Pangkalan Udara Labuan.

Beliau berkata, bagi melaksanakan OPA, kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan juga perlu dikaji terlebih dahulu oleh MetMalaysia bagi menjamin kejayaan operasinya.

Kejayaan OPA katanya bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah.

“Faktor-faktor ini membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran,” katanya.

Sementara itu, katanya impak fenomena cuaca panas dan kering ketika peralihan Monsun Timur Laut turut melibatkan beberapa kawasan di Sabah.

Jelasnya, sehingga 26 Mac 2024, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan di seluruh negeri, memusnahkan kawasan seluas kira-kira 3,800 hektar, termasuk 3.4 hektar kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok.

“Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan ini boleh membantu dalam meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

“NADMA selaku agensi peneraju pengurusan bencana negara ingin mengingatkan orang ramai untuk mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka terutama di tanah gambut untuk menghindari pencemaran udara (jerebu).

“Golongan yang berisiko terkena strok haba dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah, minum air secukupnya dan ambil langkah-langkah pencegahan yang perlu.

“Sentiasa cakna dengan maklumat kekal sihat ketika musim panas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. – Info X