KOTA KINABALU: Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam Operasi Todak yang dilaksanakan secara bersepadu di kawasan SAFMA, Pasar Besar Kota Kinabalu dan perairan sekitarnya, awal minggu ini.
Operasi bermula jam 11 malam pada 4 Ogos lalu itu diselaraskan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA).

Dalam operasi itu, JIM memeriksa 521 Orang Yang Diperiksa (OYDP) sebelum menahan 10 PATI yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua mereka kemudian dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Di kawasan perairan pula, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dengan kerjasama APMM memeriksa empat bot dan menahan lesen asal sebuah bot selepas mendapati dokumen pengenalan pelaut warga asing di dalamnya telah tamat tempoh.

Kedua-dua agensi itu turut bersiap siaga mengesan serta mengambil tindakan segera sekiranya terdapat individu yang cuba melarikan diri dengan terjun ke laut.
Sementara itu, APMM menggerakkan dua aset maritim bersama 14 anggota untuk memeriksa sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT).
Hasil pemeriksaan mendapati tujuh kru berada di atas vesel berkenaan sebelum mereka diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut.

Dalam aspek penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan, DBKK mengeluarkan kompaun terhadap dua penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah di kawasan SAFMA dan Pasar Besar Kota Kinabalu.
Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah motosikal serta beberapa peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti perniagaan.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar dan selamat, PDRM menggerakkan 21 anggota membabitkan Balai Polis Kota Kinabalu, Team Cantas dan Pasukan Polis Marin.

DBKK memaklumkan operasi penguatkuasaan bersepadu seperti itu akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya yang bersih, selamat, teratur dan berdaya huni. – Info X