TUARAN: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi Ops Gempur yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di kawasan Telipok Ria, di sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 2.30 hingga 5 pagi itu, pasukan JSJN melakukan pemeriksaan di sekitar tepi jalan Taman Telipok Ria yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan penyalahgunaan dadah.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan terhadap tiga individu berusia antara 21 hingga 40 tahun, kesemuanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, seorang daripada suspek lelaki turut menyerahkan sendiri satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.18 gram kepada pihak polis.
“Suspek yang ditahan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali di sekitar kawasan Telipok Ria.
Katanya, polis turut merampas dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 0.18 gram bernilai kira-kira RM20.
“Semua suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.
Alhusin berkata, pihaknya akan terus menjalankan risikan dan pemantauan berterusan di kawasan Telipok Ria bagi mengekang aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah di kawasan perumahan terbabit. Tindakan akan diteruskan. – Info X