KOTA KINABALU: Seramai 114 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Tawau, Lahad Datu dan Sandakan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta individu yang melanggar syarat imigresen.
Operasi yang dilaksanakan menerusi Ops Bersepadu, Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Jaja itu turut menyaksikan seramai 258 individu diperiksa di ketiga-tiga daerah terbabit.
Tawau mencatat jumlah tangkapan tertinggi apabila seramai 61 warga asing ditahan selepas 108 individu diperiksa.
Daripada jumlah itu, 54 adalah warga Filipina terdiri daripada 53 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa, selain seorang lelaki warga Pakistan serta enam warga Indonesia membabitkan dua lelaki dan empat wanita.
Di Lahad Datu, seramai 35 warga asing ditahan selepas 86 individu diperiksa. Tangkapan membabitkan 22 warga Filipina iaitu tujuh lelaki dewasa, enam wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah 13 warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Sementara itu di Sandakan, seramai 18 warga asing ditahan selepas pemeriksaan dijalankan ke atas 64 individu.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 warga Filipina iaitu sembilan lelaki dewasa dan lapan wanita dewasa serta seorang wanita warga Indonesia.
Semua warga asing terbabit ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan melanggar syarat pas imigresen.
JIM Sabah dalam kenyataannya berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara. – Info X