KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KupiKupi FM Sabah, Lester Calvin Miol bersama dua lagi tokoh media bakal membincangkan isu berkaitan kewartawanan pada satu forum mini di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis.
Forum Mini Kewartawanan: Viral, Kepantasan & Ketepatan – Cabaran Media Era Digital itu dianjurkan Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama strategik UMS.
Dua lagi ahli panel pada forum itu ialah Ketua Pengarang Vanakkam Malaysia, M Thiaga Rajan dan CEO MPI, Dr Ainol Amriz Ismail, manakala Pensyarah Kanan Program Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Dr Cyril Modili sebagai moderator.
Forum yang bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu terbuka kepada pelajar Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS.
Selain itu, menerusi jemputan daripada MPI, program itu turut dibuka kepada wartawan untuk mengikuti dan membuat liputan mengenai perbincangan yang dibuat.
MPI berkata, penganjuran forum itu bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama strategik di antara badan itu dan UMS, khususnya dalam memperkasa literasi kewartawanan, etika media serta kefahaman terhadap cabaran landskap media digital dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat umum. – Info X