Search

Orang utan ‘jalan-jalan’ dekat MPOB Lahad Datu

November 12, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Kehadiran seekor orang utan jantan yang dilihat melintas jalan dekat Pusat Penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu menarik perhatian pengguna media sosial, hari ini.

Ia selepas satu video berdurasi 25 saat memaparkan kelibat mamalia berkenaan dimuat naik di media sosial oleh individu yang secara kebetulan terserempak dengannya.

Penemuan hidupan liar itu di lokasi yang terletak kira-kira 13 kilometer dari bandar Lahad Datu, selain 10 kilometer dari Hutan Simpan Tabin yang menjadi habitat asalnya sesuatu yang jarang berlaku, malah ia dipercayai yang pertama dilihat di kawasan berkenaan.

Difahamkan, orang utan itu mungkin tersesat dan sedang mencari jalan pulang melalui kawasan ladang kelapa sawit.

Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu menasihatkan orang ramai yang terserempak dengan haiwan itu atau hidupan liar lain supaya tidak mengganggu kehadiran mereka.

Lahad Datu terkenal dengan kehadiran hidupan liar seperti orang utan dan gajah pigmi, khususnya di Hutan Simpan Tabin dan Lembah Danum.

Badak sumbu Sumatera turut ditemui di Lahad Datu sebelum ia pupus selepas haiwan terakhir yang dinamakan Iman mati di pusat perlindungannya di Tabin pada 2019. – Info X