KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan mencederakan seorang individu dalam satu pergaduhan di sebuah resort, di Kinarut, Papar pada Februari lalu.
Tertuduh, Yusuf Ab Nasir, 33, didakwa pada Jumaat lalu di hadapan hakim Amir Shah Amir Hassan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh kerana mahkamah masih menunggu laporan perubatan dan kimia berhubung kes itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang diwakili peguam Datu Baginda Datu Laja, dituduh sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Zulfikar Mundu, 37, dengan menggunakan sabit berukuran sembilan inci (22.8 cm).
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di jeti Beringgis Mangrove Kinarut, di Papar antara jam 6.30 petang hingga 7.10 malam pada 26 Februari lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000, manakala sebutan semula ditetapkan pada 8 April depan.
Pertuduhan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim.
Siasatan kes itu dikendalikan Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Desmond Tanggapan. – Info X