KOTA KINABALU: Majlis Belia KDCA (KYC) berharap, pihak KDCA memandang serius pendapat netizen mengenai Kaamatan, demi penambahbaikan acara di luar dan dalam Dewan KDCA sepanjang bulan Kaamatan.
Pengerusinya, Steve Johnny Mositun, saban tahun ada sahaja perkara yang dibangkitkan netizen menerusi laman media sosial, setiap kali menjelang Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan KDCA.
Antara yang hangat diperkatakan tahun ini sehingga menjadi kontroversi, adalah mengenai soalan kepada seorang finalis pertandingan Unduk Ngadau, sehingga dikritik hebat oleh netizen.
Turut dibangkitkan dan menjadi pertikaian adalah mengenai pakaian tradisi jenis ‘Abaya’, dipercayai dari salah satu suku kaum di daerah Ranau, yang tidak mendapat pengiktirafan sebagai salah satu pakaian tradisi yang layak dipertandingkan.
Selain itu, tender tapak berniaga (kanopi) yang dikatakan mahal oleh kebanyakan peniaga juga merupakan antara perkara penting yang perlu dititik beratkan oleh pihak KDCA pada tahun hadapan.
“Terdapat juga beberapa video yang tular di laman perbualan ‘WhatsApp’, memaparkan sekumpulan anak muda dalam kalangan wanita sedang menari di atas meja, ini termasuk beberapa belia lain yang sedang mabuk, juga ditularkan netizen di sana-sini, yang memberi gambaran tidak elok kepada bangsa kita yang meraikan Kaamatan,” tegasnya.
Perkara lain yang dilihat boleh menjejaskan pandangan segelintir pihak juga adalah mengenai keadaan kebersihan dan bau tandas yang sering dikatakan setiap tahun.
Bagaimanapun, beliau tampil menyokong KDCA mengenai acara di luar yang dikaitkan sebagai sebahagian daripada pengisian Kaamatan.
“Jawapannya ialah tidak sama sekali, acara minum-minum di luar kawasan KDCA bukanlah salah satu pengisian Kaamatan,” katanya.
Menurutnya, pengisian acara Kaamatan hanya berlaku dalam dewan utama, bermula dari 24 hingga 31 Mei, dan di pentas luar dewan terbuka pada 30 dan 31 Mei.
“Antaranya seperti Hiis, Konsert Iscep, Sugandoi, Mr kaamatan, Unduk Ngadau, dan termasuk persembahan kebudayaan yang lain, manakala pada 30 dan 31 Mei pula diadakan pertunjukan serta acara persembahan kebudayaan di rumah-rumah tradisi oleh daerah atau suku kaum masing-masing, inilah pengisian acara Kaamatan sebenarnya,” tambah Steve.
Manakala, aktiviti di luar dewan KDCA (gerai jualan) atau di rumah-rumah tradisi pada waktu petang dan berlanjutan hingga malam sepanjang 15 hingga 31 Mei sepatutnya adalah di bawah pengurusan setiap rumah tradisi yang menjalankan aktiviti perniagaan sebagai sumber ekonomi para penyewa kanopi dan rumah tradisi sepanjang tempoh tersebut.
“Ini tiada kaitan dengan pengisian aktiviti Kaamatan itu sendiri, termasuklah segala muzik karaoke, apatah lagi tarian gairah yang saya lihat lebih kepada menarik pelanggan bagi menggalakkan aktiviti perniagaan mereka.
“Namun, kita seharusnya berterima kasih kepada kepimpinan KDCA yang telah merapatkan jurang antara semua penyelaras cawangan bukan sahaja daerah di Sabah, tetapi kini telah bertapak di enam lagi negeri di Semenanjung Malaysia, dan terbaharu di Sarawak.
“Tanpa KDCA, acara ini belum tentu diiktiraf oleh Kerajaan Negeri sebagai acara signifikan sehingga diberikan Cuti Umum Sabah pada 30 dan 31 Mei setiap tahun,” ujarnya.
Bagi Steve, acara Kaamatan membuktikan kesatuan yang kuat dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di seluruh negara, dan boleh diraikan oleh sesiapa sahaja dalam keadaan aman.
Sebagai pemimpin muda KDCA, katanya, Majlis Belia KDCA yang ditubuhkan sejak tahun 2015, kini lebih daripada bersedia untuk membantu dalam memperbaiki mutu penganjuran Pesta Kaamatan.
“Malah, mana-mana badan Penyelaras KDCA Daerah yang bersedia dan sukarela serta berminat membantu sebenarnya amat dialu-alukan. Saya yakin pihak KDCA gembira jika ada yang mahu membantu,” katanya.
Bercakap mengenai KYC, katanya, tahun ini pihaknya membuka booth dengan tujuan memperkenalkan peranan belia dalam KDCA, di samping berpeluang mempamerkan aktiviti, dan menjadi ruang kepada belia serta pengunjung muda untuk menulis aspirasi mereka.
“Kami berterima kasih kepada para penderma acara hadiah cabutan bertuah, biar pun nilai terkumpul adalah kecil tetapi cukup membantu sebagai aktiviti pengisian tahun ini.
“Selain itu kami juga dapat membantu dalam kempen Derma Darah Anjuran KDCA di ITCC serta aktiviti ‘International Hospitality’ yang mana pelajar UITM dan belia secara sukarela membantu dalam membawa sebahagian daripada pelawat dari Kalimantan, pelajar Australia, dan pelancong luar negara pada 30 dan 31 Mei 2023.
“Selaku Pengerusi, saya ingin para ahli yang terlibat dapat merasai sendiri keadaan, suasana, serta peranan dan tanggungjawab mereka kepada komuniti,” katanya.
Justeru, beliau berharap semua perkara yang dibangkitkan orang ramai itu dapat diambil kira oleh pihak KDCA, agar pengurusan perjalanan acara lebih efisien pada masa akan datang dengan mengambil kira pelbagai perkara demi penambah baikan kelak. – Info X