TAWAU: Akibat panik, seorang lelaki maut selepas dipercayai terjun daripada tingkat satu bagi mengelak diperiksa pihak berkuasa yang menyerbu sebuah pusat hiburan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, lelaki warga asing berusia 23 tahun terbabit yang ditemui cedera parah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku apabila sepasukan polis menjalankan operasi pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Jalan Datuk Chong Thien Vun, di sini.
Katanya, pusat hiburan berkenaan didapati beroperasi melebihi masa dan pemeriksaan awal berjaya menahan lima individu termasuk seorang wanita berusia 17 hingga 45 tahun.
“Semua suspek ditahan selepas dipercayai masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen diri yang sah selain pasukan serbuan turut merampas beberapa peralatan elektronik di pusat hiburan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut di belakang premis berkenaan kemudiannya berjaya menahan seorang lelaki bersama mangsa yang berlumuran darah di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari aras satu ketika cuba melarikan diri bagi mengelak daripada diperiksa.
“Suspek dihantar ke Hospital Tawau menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi tadi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3, Ordinan Hiburan Awam 1958 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.
Menurutnya, satu siasatan terperinci secara telus bersabit kejadian suspek melarikan diri dan mengalami kecederaan sehingga menyebabkan kematian juga sedang dijalankan.
Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaraan masyarakat sehingga mengganggu siasatan. – Info X