Search

Pantai timur Sabah diberi keutamaan dalam soal keselamatan – Kementerian Pertahanan

January 25, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Kementerian Pertahanan akan memberi keutamaan kepada Pantai timur Sabah khususnya bagi memenuhi keperluan yang dikehendaki anggota keselamatan di sempadan laut negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, keutamaan bagi negeri Sabah juga dilihat bukan hanya kerana soal keselamatan, tetapi ia terkait dengan ekonomi dan sektor pelancongan.

Katanya, sistem radar dan pos-pos kawalan di sempadan akan ditambah baik selaras dengan peningkatan bajet kementerian tahun ini.

“Kementerian mahu melihat kemampuan radar kawalan di sempadan laut dan sistem komunikasi terutamanya terkait dengan pasukan keselamatan berada ditahap yang terbaik.

“Kita juga akan melihat pos-pos pengoperasian bagi memastikan keperluan tentera darat, tentera udara dan Angkatan Tugas Bersama (ATB2) dapat dipenuhi,” katanya ketika sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, aspek yang diberikan keutamaan pada tahun ini juga adalah mengenai kemampuan dan potensi kesiapsiagaan semua anggota tentera yang bertugas di sempadan laut.

“Selain itu, kita akan meneliti keperluan-keperluan fasiliti yang perlu ditambah baik bagi memastikan kebajikan anggota kita sentiasa terjaga.

“Kita berharap kementerian pertahanan dapat melaksanakan tugas supaya kawasan sempadan sentiasa terpelihara disamping kedaulatan serta keselamatan rakyat dan negara dapat dijaga,” katanya.

Adly dalam pada itu berkata, pihaknya juga memberi fokus terhadap kesiapsiagaan Op Pasir di pantai timur Sabah.

“Kita telah mendapat taklimat dan penerangan daripada Pusat Kawalan Maritim untuk melihat aktiviti pengawasan sempadan negara yang menjadi keutamaan keselamatan.

“Saya juga turut melihat Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah kerana kita sudah meningkatkan tarafnya menjadi pangkalan hadapan pasukan keselamatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, sebanyak 144 unit projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) ATB 2 di Kem Kukusan, Tawau dijangka siap pada Julai tahun ini.

“Beberapa projek pembangunan kementerian sedang dilaksanakan di pantai timur Sabah termasuklah kem tentera darat di Felda Sahabat, Lahad Datu dan RKAT tambahan pelbagai kelas di Kem Kabota, Tawau,” katanya.

Terdahulu, Adly memulakan lawatan kerja lima hari ke Sabah untuk meninjau operasi kem dan pangkalan tentera di pantai timur Sabah bermula Selasa baru-baru ini. – Info X