PAPAR: Daerah Papar hari ini diisytihar sebagai kawasan bencana berikutan kemarau yang menyebabkan bekalan air penduduk kini berada pada tahap yang kritikal.
Pengisytiharan bencana kemarau itu dibuat Pegawai Daerah Papar, Mohd Fuad Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pada jam 10.30 pagi tadi.
Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata JPBD Papar bermesyuarat pada 8 Mac lalu berhubung situasi semasa kemarau yang melanda daerah ini sebelum memutuskan untuk mengumumkan status bencana.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang bermesyuarat pada 8 Mac 2024 bersetuju mengumumkan Bencana Kemarau di daerah Papar. Selanjutnya, pengisytiharan bencana telah dibuat oleh Pegawai Daerah pada hari ini 13 Mac 2024, jam 10.30 pagi,” katanya.
Katanya, JPBD Papar sudah mengambil tindakan untuk menangani krisis bekalan air di daerah ini menerusi pengagihan bekalan secara berjadual.
Langkah itu jelasnya turut mendapatkan bantuan lori tangki air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ranau, Majlis Daerah Beaufort (MDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kota Kinabalu selain disewa daripada pihak swasta.
“JANS Papar akan memberi keutamaan kepada hospital, rumah-rumah ibadat, rumah warga tua dan sekolah-sekolah, manakala Majlis Daerah Papar (MDP) memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan perumahan, manakala Pejabat Parlimen Papar di kawasan perkampungan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya ia tidak bermakna JANS Papar dan MDP tidak membekalkan air ke kawasan penduduk yang terkesan.
Krisis bekalan air yang dihadapi lebih 52,000 penduduk di daerah ini berpunca daripada penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau, di sini, berikutan kemasukan air masin di Sungai Papar disebabkan kemarau yang berpanjangan.
Kandungan air masin yang terlalu tinggi hingga mencecah 2,899 miligram perliter (MGL) berbanding tahap maksimum 140 MGL menyebabkan LRA itu dihenti operasi sementara sejak hampir sebulan lalu sekali gus tidak dapat membekal 10 juta liter sehari (MLD) air bersih kepada penduduk.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datul Ir Shahelmey Yahya yang meninjau LRA itu baru-baru ini, berkata akibat penutupan LRA Limbahau, bekalan air kepada penduduk di daerah ini terpaksa ditampung menerusi LRA Kogopon.
Bagi penyelesaian jangka panjang, katanya satu muka sauk atau ‘intake’ baharu perlu dibina di lokasi yang tidak dimasuki air masin di Sungai Papar bagi membekal air mentah untuk diproses di LRA Limbahau. – Info X