Search

Parti tempatan patut dominan di Sabah – PBS

October 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti tempatan sepatutnya menjadi dominan untuk memerintah Sabah, kata pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata, walaupun PBS tiada halangan untuk bekerjasama dengan parti dari Semenanjung, parti tempatan Sabah lebih memahami keinginan rakyat Sabah

“Kita tiada halangan bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk dari Semenanjung, namun parti lokal yang sepatutnya menjadi dominan untuk memerintah Sabah.

“Parti lokal adalah parti yang memahami keinginan rakyat di negeri ini. Ini untuk memastikan Sabah tidak terpengaruh oleh kuasa luar dan terus menikmati kemajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda PBS Kr-39 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, semalam.

Dr Joachim merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Pemuda dan Wanita PBS.

Terdahulu, beliau meminta pergerakan wanita dan pemuda PBS supaya bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal menjelang.

“Kita harus bersedia mulai sekarang, terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dimenangi PBS, untuk memastikan perjuangan kita kekal relevan bagi rakyat Sabah,” katanya.

Dr Joachim berkata, meskipun PBS adalah parti tertua di Sabah dengan pengalaman selama 39 tahun dalam politik, ahli parti itu perlu terus belajar daripada pemimpin terdahulu yang setia terhadap perjuangan PBS.

Beliau juga mengingatkan ahli PBS supaya menyokong penuh sesiap saja yang menjadi calon parti itu atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 nanti.

Dalam hal itu, katanya kerjasama parti komponen GRS adalah faktor penting untuk mencapai kemenangan dengan keyakinan GRS berpeluang memenangi lebih dua pertiga kerusi jika semua parti komponen bekerjasama erat.

Sementara itu, Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata memorandum persefahaman (MoU) di antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang ditandatangani sebelum ini bertujuan mengukuhkan kedudukan GRS.

Beliau nenafikan khabar angin kononnya PBS-STAR mungkin bekerjasama dengan pihak lawan atau bertanding sendirian pada PRN17 nanti. – Info X