KOTA KINABALU: Parti-parti tempatan Sabah perlu mengetepikan perbezaan politik dan bersatu bagi memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat negeri itu, kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSabah), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Beliau berkata, kesatuan parti tempatan penting bagi memastikan perjuangan berkaitan hak Sabah, termasuk tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
“Kita mahu parti-parti tempatan sehati sejiwa dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.
“Sudah tiba masanya kita bersatu dan memperkuatkan perjuangan demi masa depan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun STARSabah Ke-10 di sini, malam Sabtu.
Turut hadir Timbalan Presiden STARSabah, Datuk Kenny Chua; Pemangku Timbalan Presiden, Datuk Lawrence Gimbang dan Datuk Mohd Ishak Ayub; serta Setiausaha Agung STARSabah, Senator Datuk Edward Linggu.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, perjuangan mempertahankan hak negeri perlu diteruskan, termasuk memastikan MA63 dilaksanakan sepenuhnya.
Katanya, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan melaksanakan semua tuntutan MA63 selepas 63 tahun Sabah bersama dalam Persekutuan Malaysia.
“Inilah naratif baharu perjuangan kita. Kita mahu Kerajaan Persekutuan melaksanakan tuntutan MA63 bulat-bulat.
“Kita sudah 63 tahun dalam Malaysia tetapi masih banyak perkara berkaitan MA63 yang belum selesai,” katanya.
Jeffrey berkata, sekiranya tuntutan berkenaan terus gagal dilaksanakan sepenuhnya, STARSabah tidak menolak kemungkinan membawa isu itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai langkah terakhir.
Beliau turut menegaskan bahawa hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati, termasuk tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri itu.
Pada masa sama, Jeffrey mengingatkan rakyat Sabah mengenai sejarah pembentukan Malaysia yang menyaksikan Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia sebagai rakan kongsi yang setara.
“Rakyat Sabah wajar tahu sejarah ini. Di bawah MA63, status kita setara dengan Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu.
“Kita dalam STARSabah akan terus berjuang mempertahankan status samarata ini,” katanya.
Mengenai hala tuju STARSabah, Jeffrey berkata pencapaian kurang memberangsangkan parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) lalu tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat dan Sabah.
Katanya, STARSabah perlu melupakan episod PRN lalu dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Perjuangan kita belum selesai. Misi kita ialah mahu melihat Sabah maju, makmur dan merdeka.
“Ada pemimpin parti kita yang sabar dan ada yang tidak. Ini perkara biasa dalam politik. Ada masanya kita di bawah dan ada masanya kita bangkit.
“Kita tinggalkan episod PRN lepas dan bergerak ke hadapan. Marilah kita tingkatkan usaha memperkuatkan parti di semua peringkat dan bersedia menghadapi PRU akan datang,” katanya.-Info X