Search

PASANG LEBIH BANYAK PERANGKAP MONYET LIAR DI KUALA PENYU, KATA AMINAH

February 15, 2023

admin

KUALA PENYU: Timbalan Menteri Komuditi dan Perladangan, Datuk Siti Aminah Aching meminta Jabatan Hidupan Liar (JHL) memasang lebih banyak perangkap dalam lokasi perkampungan di daerah ini bagi menangani ancaman serangan monyet liar.

Populasi monyet liar di daerah Kuala Penyu sudah mencapai ribuan ekor sekali gus merupakan satu ancaman besar kepada penduduk di hampir semua perkampungan.

“Saya menerima banyak aduan penduduk tentang ancaman monyet dengan populasi yang banyak menghabiskan sejumlah besar tanaman mereka.

“Peningkatan jumlah haiwan itu sejak tujuh tahun lalu amat membimbangkan dan sukar dikawal jika tiada tindakan drastik daripada JHL.

“Monyet liar bukan sahaja bertindak ganas memakan dan merosakan tanaman malahan lebih membimbangkan haiwan itu turut memasuki rumah penduduk untuk mengambil makanan serta merosakan harta benda, ” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort menyatakan beliau difahamkan bahawa JHL sudah memasang satu atau dua perangkap namun langkah itu tidak mampu mengurangkan populasi haiwan berkenaaan yang semakin bertambah dari masa ke semasa di seluruh kawasan Kuala Penyu.

Sementara itu, beliau mengesa ketua-ketua kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangun dan Keselamatan Kampung (JPKK) membuat laporan di pejabat Ddaerah tentang kewujudan monyet liar supaya tindakan bersasar dapat ambil. – Info X