Search

Pasangan kekasih ditahan bersama syabu RM27,000

September 30, 2026

Info X Reporters

BELURAN: Sepasang kekasih ditahan polis selepas ditemukan bersama lima bungkusan syabu seberat 250.32 gram bernilai kira-kira RM27,000 di tepi jalan sebuah kebun kelapa sawit persendirian di Kampung Cenderamata, Tagas-Tagas, di sini, pagi tadi.

Pasangan berusia 38 dan 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pemeriksaan terhadap salah seorang suspek menemukan lima bungkusan plastik mengandungi bahan hablur disyaki syabu.

“Dadah berkenaan mempunyai berat kasar 250.32 gram dengan anggaran nilai RM27,000.

“Kedua-dua suspek adalah warga tempatan dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, pasangan terbabit kini ditahan di Balai Polis Beluran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hasan berkata, polis memandang serius kegiatan mengedar, memiliki dan menyalahgunakan dadah serta mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan. – Info X