Search

Pastikan Bantuan Orang Susah sampai kepada golongan sasaran – Masidi

March 23, 2023

admin

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) supaya mengamalkan disiplin kewangan apabila membelanjakan peruntukan termasuklah Bantuan Orang Susah.

Katanya, semua ADUN dan PPM perlu memastikan peruntukan bantuan berkenaan sampai kepada golongan yang disasarkan.

Selain itu, katanya, ADUN dan PPM juga mesti melengkapkan dan menyerahkan laporan perbelanjaan mereka bagi membantu kerajaan negeri memantau keberkesanan bantuan tersebut.

“Laporan itu penting bagi mengetahui keberkesanan bantuan supaya Kementerian Kewangan Sabah dapat mengekalkan pencapaian bertaraf lima bintang dan antara yang terbaik di negara ini.

“Ianya (laporan) dibuat bukan untuk menyusahkan wakil rakyat atau PPM, tetapi ia salah satu langkah kerajaan untuk memastikan peruntukan sampai kepada penerima,” katanya ketika berucap sempena penutupan taklimat Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah dengan PPM, di sini, pada Rabu.

Masidi berkata, agihan peruntukan BOS sebanyak RM100,000 kepada setiap 73 ADUN serta penyerahan laporan perlu dilakukan secara konsisten dan bukannya untuk disimpan atau dibelanjakan pada akhir tahun.

“Saya berharap semua PPM juga akan memainkan peranan mereka dalam mengagihkan BOS secara adil kepada orang yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya. – Info X