Search

Pastikan pengurusan aset, pelaburan negeri dilaksanakan dengan cekap – Masidi

April 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Syarikat pelaburan kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Berhad (QSB) digesa menambah baik dan
memperkukuh perancangan strategik organisasi bagi memastikan pengurusan aset dan pelaburan negeri dilaksanakan dengan lebih cekap, telus dan berimpak tinggi.

Perkara itu ditekankan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manju ketika menerima kunjungan hormat QSB yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Anifah Aman, di pejabatnya pada Isnin.

Masidi berkata, langkah itu amat penting dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa yang semakin kompleks, di samping memastikan setiap inisiatif yang dirangka mampu memberi pulangan mampan kepada negeri serta manfaat langsung kepada rakyat.

Jelasnya, QSB juga perlu lebih proaktif meneroka peluang baharu, termasuk dalam sektor berpotensi tinggi seperti teknologi, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital, selaras dengan aspirasi pembangunan jangka panjang Sabah.

“Selain itu syarikat juga perlu menitikberatkan tadbir urus yang baik, pemantauan berterusan dan pendekatan inovatif dalam setiap pelaksanaan projek agar setiap pelaburan yang dibuat benar-benar memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri,” katanya.

Kementerian Kewangan negeri, katanya sentiasa menyokong segala usaha penambahbaikan dan pengukuhan strategi yang dilaksanakan oleh QSB, bagi memastikan setiap perancangan selari dengan dasar kewangan negeri serta mampu memperkukuh kedudukan fiskal Sabah secara keseluruhan.

Terdahulu, kunjungan berkenaan membincangkan pembentangan bertajuk Arah Strategik dan Hala Tuju Qhazanah Sabah Berhad yang memfokuskan perancangan masa depan dan strategi pengukuhan peranan agensi itu dalam memperkasa ekonomi negeri. – Info X