Search

Pastikan projek pembangunan siap ikut jadual – Hajiji

February 17, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengulangi gesaannya kepada semua wakil rakyat dan pemimpin akar umbi supaya memastikan projek pembangunan di kawasan masing-masing disiapkan mengikut jadual.

Katanya, gesaan itu termasuk kepada Ketua Kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi memastikan rakyat dapat menikmati projek yang dilaksanakan.

“Saya telah memberitahu mereka yang berkenaan untuk merancang dan melihat apa keperluan rakyat. Ketua Kampung dan JKKK mesti bersikap proaktif dalam hal ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat tapak projek Rumah Mesra SMJ dan projek kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, di sini, hari ini.

Mengenai projek Rumah Mesra SMJ, beliau berkata pelaksanaan projek itu di seluruh negeri secara keseluruhannya memuaskan.

Hajiji meninjau projek pembangunan di DUN Sulaman.

“Mereka yang layak menerima Rumah Mesra SMJ adalah golongan yang benar-benar memerlukan. Oleh itu, ini adalah projek berimpak tinggi yang diberi keutamaan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu melawat Kampung Lok Batik, Kampung Pendamai, Kampung Tambalang, Kampung Indai dan Kampung Serusup untuk meninjau perkembangan projek di kawasan berkenaan.

Ia termasuk projek menaik taraf jalan raya di Kampung Lok Batik dan Kampung Pendamai, pembinaan Rumah Mesra SMJ di Kampung Indai dan Kampung Serusup serta pembinaan parit di Kampung Tambalang.

Ketua Menteri mengakhiri lawatannya di jeti Serusup-Penimbawan yang telah siap dibina di Kampung Serusup. – Info