KOTA KINABALU: Presiden PBS Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, parti itu belum memutuskan kerjasama politik dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Katanya, walaupun mereka akan terus menyokong penuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) namun mereka juga perlu membuat keputusan sendiri jika sebarang konsesus gagal dicapai.
“Kita perlu telitikan keadaan, sudah pasti sebagai ahli dalam gabungan (GRS) kita perlu mencari kerjasama bersama, tapi jika sesuatu keputusan tidak dapat dicapai secara konsesus, sudah tentu parti perlu membuat keputusan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis ramah mesra dan sesi dialog dengan golongan profesional, di sini, hari ini.
Sementara itu dalam sesi dialog tadi, menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal Sabah dan Sarawak) itu turut mendedahkan ada berjumpa serta berbincang dengan pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mewujudkan kerjasama politik.
Katanya, perbincangan berkenaan menjurus kepada mewujudkan gabungan parti-parti daripada borneo namun belum ada sebarang keputusan mengenainya dibuat.
“Bagaimanapun, saya tidak kisah mendedahkan kepada media kerana mereka (GPS) mengatakan Sabah ini susah kerana gabungan di sini turut membabitkan parti dari semenanjung, tidak sama macam Sarawak.
“Apapun saya katakan, lebih banyak perbincangan mengenai ini (mewujudkan gabungan parti-parti dari Borneo) perlu dilakukan dan selain itu, satu formula baru perlu dicari mengenai penyertaan parti dari semenanjung ini perlu,” katanya. – Info X