Search

PBS sasar rampas semula kerusi DUN Melalap

July 15, 2024

Info X Reporters

TENOM: Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap menerusi kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki, berkata kerusi DUN Melalap yang pernah menjadi kubu kuat parti itu perlu dimenangi semula untuk menjadikannya sebahagian daripada suara kerajaan dalam DUN Sabah.

“Kemenangan ini penting agar Sabah boleh mencapai kestabilan politik yang lebih baik demi kesinambungan pentadbiran negeri yang mapan.

“Saya yakin kerusi ini boleh dimenangi menerusi kerjasama baik PBS dan STAR serta rakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-39 PBS Melalap di Pusat Kebudayaan Murut, Pulong, di sini, Sabtu lalu.

Kerusi DUN Melalap terlepas dari tangan PBS sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 apabila berjaya dimenangi Datuk Peter Anthony yang ketika itu bertanding atas tiket WARISAN.

Peter yang kini Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut mempertahankan kerusi itu pada PRN 2020.

Julita berkata, beliau yakin kerjasama baik parti komponen GRS yang menguasai kerusi lain di pedalaman mampu menguatkan usaha untuk merampas semula kerusi DUN Melalap.

“STAR dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) masing-masing mewakili DUN berdekatan dengan Melalap.

“Soal calon akan dibincang selepas proses perundingan selesai,” katanya.

Beliau berkata, PBS mempunyai cawangan aktif di 76 daripada keseluruhan 99 kampung dalam DUN Melalap, manakala beberapa lagi cawangan baharu bakal dibuka berikutan kemasukan ramai ahli baharu ke dalam parti itu.

Pada AGM berkenaan, PBS Melalap menerima sebanyak 1,135 permohonan keahlian termasuk pembukaan sebanyak sembilan cawangan baharu. – Info X