KOTA KINABALU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh berbincang dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi menyediakan kemudahan surau di Bazar Ramadan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata kemudahan itu disarankan bagi Bazar Ramadan yang tiada masjid atau surau berdekatan.
Katanya, pihak kementerian juga akan membawa perkara itu kepada pihak JHEAINS dan MUIS bagi memberi kemudahan kepada umat Islam yang berniaga atau berkunjung di Bazar Ramadan sepanjang Ramadan nanti.
“Kita akan bawa perkara ini tetapi sebahagian daripada tempat bazar kita dekat dengan masjid, misalnya di Beaufort, sebelah masjid sahaja, jadi tidak perlu kita wujudkan.
“Begitu juga di Membakut, sebelah masjid sahaja dan kebanyakannya (bazar) dekat dengan masjid, jadi tidak perlu kita wujudkan surau.
“Tapi, bagi yang jauh daripada masjid mungkin kita akan bincang dengan JHEAINS, MUIS dan saya bersama mufti nanti, insyaAllah,” katanya pada satu majlis di sini, pada Selasa.
Arifin yang juga EXCO Agama negeri diminta mengulas mengenai gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan supaya PBT menyediakan surau sementara di setiap Bazar Ramadan.
Sementara itu, Arifin berkata pihaknya mengambil berat aspek kebersihan Bazar Ramadan dan makanan yang dijual di mana-mana bazar demi kepentingan pengguna.
“Kita mesti jaga kebersihan bazar dan makanan, apa yang kita sajikan untuk orang ramaipun diberi perhatian oleh PBT masing-masing kerana ada syaratnya untuk kita sebagai peniaga melalui majlis daerah masing-masing,” katanya.
Umat Islam dijangka menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan bermula pada 18 atau 19 Februari ini. – Info X