KOTA KINABALU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diarah untuk memastikan tiada penyalahgunaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dilakukan penerima kediaman itu di kawasan masing-masing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengarahkan perkara itu, berkata ia kerana ada kes penerima kediaman PPR menyewakan rumah mereka kepada orang lain bagi mengaut keuntungan.
Katanya, perbuatan itu menunjukkan penerima kediaman PPR terbabit tidak memerlukan kemudahan itu, sekali gus menyebabkan orang lain yang memerlukannya tidak mendapat peluang sewajarnya.
“Sehubungan itu, saya mahu semua PBT meneliti semua permohonan dan memantau dengan tegas pelaksanaan program PPR di kawasan mereka.
“Berdasarkan perjanjian, sesiapa yang mendapat rumah di bawah program PPR tidak dibenarkan menyewakannya,” katanya kerika lawatan kerja di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri di Wisma Innoprise, di sini, hari ini.
Hajiji turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri memohon sebanyak 5,000 lagi rumah PPR dibina di negeri ini pada tahun depan.
Katanya, permintaan itu disuarakannya kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan persekutuan, Nga Kor Ming ketika pertemuan di sini, baru-baru ini.
“Saya ada berjumpa dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan persekutuan (Nga Kor Ning) baru-baru ini dan meminta supaya 5,000 rumah PPR untuk Sabah dimasukkan dalam belanjawan kementerian pada tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri menggesa semua PBT di negeri ini untuk mewujudkan lebih banyak program kesedaran mengenai kebersihan di kawasan masing-masing.
Jelasnya, kesedaran rendah mengenai aspek kebersihan dalam kalangan rakyat menjadi antara punca masalah sampah yang tidak berkesudahan.
Mengenai isu setinggan yang dibangkitkan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Jamili Nais, Hajiji berkata unit penguatkuasa PBT perlu bertindak tegas terhadap perkara itu.
“Jika nampak ada struktur baharu dibina di tanah kerajaan di kawasan masing-masing, mereka (penguatkuasa) sepatutnya menghentikannya.
“Jangan tunggu sehingga masalah itu berkembang menjadi penempatan setinggan yang kemudiannya menyebabkan pebagai komplikasi,” katanya.
Dalam taklimatnya, Jamili berkata terdapat sebanyak 281 koloni setinggan di Sabah dengan yang tertinggi di ibu negeri, diikuti Sandakan dan Tawau, manakala hanya tiga daerah bebas setinggan di negeri ini iaitu Kota Belud, Tuaran dan Ranau.
Sementara itu, Hajiji mengarahkan pegawai PBT supaya lebih proaktif dan melaksanakan lebih kerap pemeriksaan terhadap ameniti awam seperti perparitan dan lampu jalan dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata pelbagai pendekatan diambil dan dilaksanakan bagi memastikan 25 PBT, jabatan dan agensi di bawah kementeriannya bergerak secara aktif.
Beliau memaklumkan tiga PBT kini berstatus Majlis Perbandaran berikutan kenaikan taraf Majlis Daerah Penampang kepada Majlis Perbandaran Penampang (MPP).
Jelasnya, beliau menekankan usaha membasmi kemiskinan di kawasan pentadbiran PBT dan mengambil tindakan berkesan untuk mengatasi isu setinggan. – Info X