KOTA KINABALU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, khususnya di Sabah digesa supaya memandang serius isu anjing liar yang mengancam keselamatan orang ramai.
Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu, Datuk Seri Dr Anil Sandhu, berkata langkah itu perlu berikutan satu kes serangan anjing liar di Kunak, kelmarin yang menyebabkan kematian seorang mangsa warga emas.
“Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) ia satu tragedi yang sangat ngeri apabila mangsa diserang sekumpulan anjing liar lalu rebah sebelum digigit haiwan berkenaan hingga maut.
“Saya sendiri tidak sanggup untuk mengulang tayang video itu setelah menontonnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas insiden serangan sekumpulan anjing liar terhadap seorang wanita warga emas sehingga maut di Terminal Bas Kunak pada kira-kira jam 1.50 pagi, Sabtu lalu.
Dr Anil yang juga EXCO Pemuda Barisan Nasional (BN), berkata insiden itu bukan yang pertama, sebaliknya kes serangan anjing liar hingga mangakibatkan kematian mangsa pernah dilaporkan beberapa kali.
“Sebelum ini serangan anjing liar yang menyebabkan kematian berlaku pada November 2024 membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Sungai Tohok, Semporna.
“Pada September 2022 pula seorang wanita berusia 29 tahun ditemui mati dengan kesan gigitan haiwan dipercayai akibat serangan anjing liar di simpang Kampung Batu, Semporna,” katanya.

Beliau berkata, serangan anjing liar boleh berlaku di mana-mana sama ada di kawasan kampung, bandar, taman perumahan atau jalan raya.
“Malah ada kes yang membabitkan kemalangan motosikal apabila penunggang dikejar lalu terbabas dan cedera.
“Ada yang sedang jogging atau berriadah dikejar anjing lalu digigit, ada yang sedang berjalan kaki ke tempat kerja atau ke sekolah juga tidak terlepas dikejar anjing liar,” katanya.
Katanya, anjing liar mungkin menjadi agresif akibat kurang sumber makanan seiring dengan populasi haiwan itu yang bertambah.
Beliau berkata, ketiadaan sebarang sistem kawalan atau usaha yang spesifik dan efektif bagi menangani pembiakan anjing liar turut menyumbang kepada peningkatan populasinya.
“Oleh itu saya menyeru semua agensi atau pihak berkenaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan haiwan di Sabah agar memandang perkara ini dengan serius.
“Sudah tiba masanya untuk menyelesaikan masalah ini agar tidak menjadi satu mimpi ngeri orang ramai di negeri ini,” katanya. – Info X