Search

Pegawai kanan agensi kerajaan ditahan, tuntutan RM15,000 disyaki palsu

October 7, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan dua dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kira-kira RM15,000.

Suspek wanita berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sandakan.

Difahamkan, dua dokumen berkenaan membabitkan tuntutan perbelanjaan mesyuarat serta perbelanjaan sempena lawatan kerja pegawai kanan sebuah kementerian.

Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan suspek sekitar 2023 dan 2024.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Rasuah Sandakan, esok. – Info X