Search

Pegawai kastam maut kemalangan

March 9, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 57, Jalan Lahad Datu – Tungku, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, mangsa Khairul Taha, 41, yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Kastam Lahad Datu, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tungku.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Preve yang dipandu lelaki berusia 46 tahun dari arah Bandar Lahad Datu menuju ke Tungku.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai cuba memasuki simpang kanan di Kampung Sibural.

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 57, Jalan Lahad Datu – Tungku.

“Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Ninja EX250S yang ditunggang lelaki berusia 41 tahun dari arah bertentangan bergerak lurus dari arah Felda sebelum berlanggar dengan kereta yang dipercayai tiba-tiba masuk ke laluan motosikal berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dibawa orang awam ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.15 pagi ketika menerima rawatan di klinik berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan membabitkan penunggang motosikal dengan sebuah kereta di Kilometer 57, Jalan Lahad Datu – Tungku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu,” katanya.

Sementara itu, Dzulbaharin berkata semua pengguna jalan raya di daerah ini supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah di jalan raya agar tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. – Info X