Search

Pejalan kaki maut dilanggar kereta di Indah Permai

October 26, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki warga Indonesia maut selepas dilanggar sebuah kereta di Jalan Sepanggar- Indah Permai, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi, mangsa Nasrul Emmang, 46, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Saga yang dipandu wanita berusia 29 tahun itu bersama suaminya dari pusat bandar raya menuju ke rumah di Sepanggar.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian berdekatan flyover Indah Permai, ketika bergerak melepasi selekoh dan bergerak ke lorong kiri jalan, tiba-tiba seorang pejalan kaki lelaki melintas jalan ke laluan utama.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu Proton Saga tidak sempat mengelak dari terlanggar mangsa di bahagian hadapan sisi kiri kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pejalan kaki yang lintas jalan maut selepas dilanggar sebuah kereta Proton Saga di Jalan Sepanggar, dekat flyover Indah Permai, Manggatal.

Menurutnya, akibat daripada perlanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu kiri jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X