PENAMPANG: Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pintas Penampang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa lelaki berusia 61 tahun yang parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Kota Kinabalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya mengesahkan terima satu maklumat awam mengenai kes kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan pejalan kaki.
“Siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati pejalan kaki telah mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HQEI, Kota Kinabalu.
“Manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda seorang wanita berusia 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, disiasat masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
“Pihak polis ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan ketika melintas jalan,” katanya. – Info X