Search

Pekerja kapal mati lemas ketika sambung tali jangkar

August 15, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Seorang pekerja kapal penarik pasir lemas ketika cuba membuat penyambungan tali jangkar yang putus akibat keadaan laut bergelora dalam kejadian di perairan Pantai Bangau, Sikuati, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa Mohd Azman Idris, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darickson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4.46 petang.

Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 39 kilometer dari BBP Kudat untuk membantu.

“Menurut maklumat pemanggil, seorang mangsa terjatuh semasa membuat penyambungan tali jangkar yang putus akibat keadaan laut bergelora.

“Manakala dua orang pekerja yang berada di atas kapal terjun untuk menyelamatkan mangsa.

“Mangsa berjaya diselamatkan menggunakan tali namun ketiga-tiga mereka tidak dapat naik ke atas kapal disebabkan keadaan ombak bergelora,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, setibanya pasukan bomba ditempat kejadian, ketiga-tiga mangsa telah hanyut di tepi pantai dan seterusnya diselamatkan oleh pasukan bomba.

Bagaimanapun katanya, seorang mangsa disahkan meninggal dunia manakala dua mangsa lagi dilaporkan selamat dan diberi rawatan awal oleh pihak KKM.

“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain,operasi ditamatkan pada jam 6.43 petang,” katanya. – Info X