Search

Pekerja kebun tembikai parah disamun empat lelaki

February 20, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang pekerja kebun tembikai parah selepas dipukul dan disamun empat lelaki dalam kejadian di Kampung Batu Gadung, Jalan Tamau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu juga, wang tunai RM10,000 dan barang kemas yang belum pasti nilai sebenar milik mangsa lelaki berusia 24 tahun turut dilarikan oleh kumpulan lelaki yang belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian samun itu kira-kira jam 4 petang.

Katanya, mangsa yang bekerja di kebun tembikai kini menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.

“Hasil daripada siasatan mendapati mangsa disamun empat lelaki sehingga menyebabkan mangsa parah di bahagian kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

“Kumpulan berkenaan turut melarikan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lokasi kejadian mangsa disamun di rumah kebun di Kampung Batu Gadung, Kota Belud. – Foto/PDRM

Shahrudin berkata, semua suspek dipercayai melarikan diri menggunakan dua buah motosikal.

“Polis kini dalam usaha mengenal pasti serta mengesan kumpulan lelaki terbabit.

“Mana-mana saksi awam yang mengenai atau mempunyai maklumat suspek diminta supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Izhafizan Haron di talian 014-6318003,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun bersenjata secara berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan. – Info X