Search

Pekerja kontraktor maut terkena renjatan elektrik ketika baiki lampu sekolah

October 28, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Seorang pekerja kontraktor maut akibat terkena renjatan elektrik selepas tangga digunakannya dipercayai tersentuh kabel elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di sebuah sekolah di Batu 1, di sini, pagi ini

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, lelaki warga Filipina berusia 56 tahun berkenaan dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum terjatuh di kawasan luar pintu gerbang sekolah.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan terbaring di kawasan luar pintu gerbang sekolah ketika menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu.

“Berdasarkan maklumat awal, tangga yang digunakan mangsa dipercayai tersentuh kabel elektrik sehingga menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik sebelum terjatuh.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.31 pagi.

Katanya, sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi sebelum menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd bagi memutuskan bekalan elektrik untuk memastikan operasi mengeluarkan mangsa dapat dijalankan dengan selamat.

“Mangsa berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat pada jam 9.15 pagi selepas bekalan elektrik diputuskan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd.

“Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.46 pagi,” katanya. – Info X