Search

Pekerja ladang hilang ditemui dalam mulut buaya

February 8, 2024

Info X Reporters

KINABATANGAN: Pekerja ladang yang dilaporkan hilang di sungai, semalam ditemui dalam mulut buaya di Sungai Koyah dekat Ladang Linddale, Paris 2, di sini petang tadi.

Mayat Roberto Martinus, 37, bagaimanapun hanya berjaya dilepaskan dari mulut buaya selepas anggota polis menembak reptilia berkenaan, kira-kira jam 5.45 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Azlan Shah Jamalluddin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dimulakan pada 9.40 pagi.

Katanya, pencarian dijalankan di permukaan air menggunakan bot penyelamat menelusuri sungai di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat di mulut buaya dan pasukan polis melakukan 12 das tembakan sebelum haiwan itu melepaskan mangsa.

“Mangsa kemudian diambil namun dalam keadaan tidak sempurna. Hanya kaki sebelah kiri saja yang yang ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tindakan pengecaman mangsa kepada ahli keluarganya yang turut hadir di lokasi kejadian.

Hanya kaki sebelah kiri saja yang ditemui oleh pasukan penyelamat. – Foto/Bomba

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 6.15 petang,” katanya.

Info X semalam melaporkan seorang pekerja ladang hilang dan dikhuatiri dibaham buaya dalam kejadian di Ladang Linddale, Paris 2, Kinabatangan, kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Roberto, 37, dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti memancing di kawasan berkenaan. – Info X