KOTA KINABALU: Seorang pekerja p-hailing maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran KFC Darau, di sini, malam tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Ahmad Ashraff, 18, yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 dalam perjalanan untuk melakukan penghantaran makanan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan kereta jenis Perodua Myvi.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Myvi lelaki yang datang dari arah pasar raya CKS, Manggatal hendak keluar dari simpang menuju ke laluan pusingan U.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta itu dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah laluan utama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke atas pembahagi jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pemandu kereta Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan. Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan pada bahagian masing-masing.
“Tindakan susulan diambil termasuk semakan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dan dashcam, serta penahanan kedua-dua kenderaan untuk pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Kriminalistik dan Puspakom,” katanya.
Katanya lagi, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas arahan pegawai penyiasat kanan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Polis menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati di jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya. – Info X