KOTA KINABALU: Minyak sawit dari Sabah berpotensi menembusi pasaran Asia Barat berikutan minat syarikat antarabangsa berpangkalan di Dubai, Emeriah Arab Bersatu untuk membeli komoditi itu.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Datuk Victor P Paut, berkata minat itu dijelaskan Pengarah Eksekutif (Group Expansion) International Mercantile (InMerc) DMCC, Chandrasegaran ketika kunjungan hormat di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Katanya, Chandrasegaran dalam misi membawa siri pelaburan berskala besar dalam perusahaan minyak dan gas selain menyatakan keinginan syarikat gergasi dari Dubai itu untuk bekerjasama dengan Sawit Kinabalu mengenai pembelian minyak sawit dari negeri ini.
“Kerjasama ini memungkinkan minyak sawit kita diekspot ke Asia Barat khususnya Dubai untuk memenuhi permintaan di sana,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan pertemuan berkenaan.
Katanya, pertemuan di pejabatnya itu adalah langkah awal ke arah perbincangan yang lebih luas mengenai kerjasama kedua-dua pihak tidak lama lagi.
Beliau berkata, syarikat itu juga menyatakan minat untuk melabur dalam industri perhotelan di Sabah berdasarkan potensi pelaburan yang baik dalam sektor pelancongan di Sabah.
“Ini akan dapat membantu Sabah dari segi penginapan untuk pelancong pada masa depan, selain mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Victor berkata, Sabah mengamalkan dasar pintu terbuka kepada pelaburan asing seperti yang dinyatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini, dalam usaha memakmur dan membangunkan negeri ini.
“InMerc juga sudah menyatakan minat mereka untuk melabur di Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SKSIP) dan beberapa kawasan strategik untuk industri pembangunan berdaya saing bernilai bilion ringgit,” katanya.
InMerc adalah sebuah syarikat gergasi berpangkalan di Dubai, Emeriah Arab Bersatu yang menumpukan perniagaan dalam industri perhotelan, minyak Sawit, Agro Trading, tenaga dan besi keluli selain minyak dan gas.-Info X