Search

Pelajar antara tujuh ditahan terbabit geng curi motosikal

August 7, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Tujuh remaja lelaki berusia 14 hingga 18 tahun termasuk tiga masih bersekolah ditahan polis kerana aktif mencuri motosikal di sekitar pulau ini.

Kumpulan remaja terbabit dipercayai aktif sejak Jun lalu dan disyaki terbabit sekurang-kurangnya empat kes mencuri motosikal pelbagai jenis.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima empat laporan polis mengenai kes kecurian motosikal yang berlaku di tempat yang sama pada 17 Jun hingga 26 Julai lalu.

Susulan itu, katanya polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi membanteras dan mengesan pelaku dalam kejadian berkenaan.

“Hasilnya pada 14 Julai lalu, di kawasan semak Kampung Bedaun, pasukan khas menemui semula sebuah motosikal yang dilaporkan hilang pada 17 Jun lalu.

“Berikutan itu, pada 4.20 pagi 27 Julai lalu, pasukan polis menahan dua remaja lelaki serta merampas sebuah motosikal. Hasil semakan mendapati motosikal yang dirampas adalah motosikal yang dilaporkan hilang pada 26 Julai lalu,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Empat motosikal yang dicuri berjaya ditemukan semula susulan penahanan tujuh remaja di Labuan.

Mohd Hamizi berkata, siasatan lanjut ke atas dua remaja yang ditahan membawa kepada penahanan lima lagi remaja lelaki berusia 14 hingga 18 tahun.

“Dengan tertangkapnya tujuh remaja lelaki itu, polis berjaya menemui semula dua motosikal lagi yang dilaporkan hilang pada 17 Jun lalu.

“Ini bermakna, empat kejadian kecurian motosikal dalam tempoh sebulan berjaya diselesaikan. Semua suspek yang terbabit juga berjaya ditahan dan semua motosikal yang dicuri ditemui semula,” katanya.

Menurutnya, dengan bantuan Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM) dan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, dua motosikal ditemui semula yang disembunyikan dengan cara dibuang di dalam sungai berhampiran tempat kejadian.

“Modus operandi yang digunakan oleh suspek iaitu mengambil kesempatan ketika penghuni sedang tidur dan mengesan motosikal yang tiada menggunakan kunci leher atau kunci tambahan lalu menolak motosikal berkenaan ke blok yang kosong untuk disembunyikan.

“Cara menghidupkan motosikal itu dengan menggantikan tempat kunci enjin yang baru dibeli di kedai sekitar Labuan,” katanya.

Mohd Hamizi ketika sidang media berkait kejayaan tengkapan tujuh remaja terbabit kes curi motosikal di Labuan.

Tambah beliau lagi, siasatan telah lengkap dijalankan dan diserahkan kepada pejabat peguam negara.

“Semua suspeknakan dituduh di mahkamah pada hari ini mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghapuskan sebuah kenderaan motosikal yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari tujuh tahun,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, pihaknya ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan yang ditinggalkan berada dalam keadaan terkunci selain inisiatif memasang kunci tambahan pada kenderaan. – Info X