Search

Pelajar maut motosikal terbabas

June 20, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan maut manakala sepupunya parah selepas motosikal dinaiki terbabas sendiri berhampiran Kampung Lokub, Jalan Sepanggar, di sini, semalam.

Mangsa berusia 17 tahun beralamat di Taman Seri Baru Manggatal, meninggal dunia selepas lebih enam jam mendapat rawatan di Hospital Likas, akibat parah di kepala.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa pembonceng manakala sepupunya lelaki berusia 18 tahun penunggang motosikal dalam perjalanan menuju ke Sepanggar.

Penunggang yang parah selepas motosikal dinaiki bersama sepupunya terbabit kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika itu, cuaca hujan renyai-renyai dan keadaan jalan raya basah.

“Sebaik tiba berhampiran Kampung Lokub, tiba-tiba motosikal dinaiki mangsa bersama sepupunya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kedua-dua mangsa terbaring di bahu kiri jalan dalam keadaan separa sedar dan berlumuran darah. Kedua-dua mereka kemudian dibawa oleh ambulan dan pihak bomba ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pada 12.36 tengah malam tadi, pembonceng disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Likas.

Motosikal yang dinaiki Kedua-dua mangsa.

“Penunggang motosikal yang parah di kepala dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada 6.29 pagi tadi.

“Mayat mangsa masih berada di Forensik Hospital Likas dan akan dibawa ke Forensik HQE I untuk menjalani bedah siasat,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X