Search

Pelajar MRSM maut, adik parah motosikal dirempuh kereta

March 6, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal dinaiki bersama adiknya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Merotai – Tawau, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tawau disahkan meninggal dunia pada jam 4.08 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda C100 yang dinaiki dua beradik itu dengan sebuah kereta Proton Wira dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Felda Umas.

“Pada masa sama, motosikal yang ditunggang pelajar Kolej Vokasional berusia 17 tahun bersama kakaknya berumur 18 tahun sedang dalam perjalanan dari Kampung Manggaris, Merotai menuju ke bandar Tawau.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai tertidur ketika memandu lalu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut serta ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Bagaimanapun, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia pada awal pagi tadi ketika menerima rawatan, manakala penunggang motosikal masih menerima rawatan di hospital.

“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak meneruskan perjalanan sekiranya berada dalam keadaan mengantuk atau terlalu letih.

“Keadaan ini boleh menyebabkan ‘micro sleep’ yang sangat berbahaya dan berisiko mengakibatkan kemalangan jalan raya.

“Orang ramai disarankan berhenti di kawasan selamat untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X