Search

Pelajar tingkatan dua ditendang pelajar senior kerana lambat masuk asrama

September 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Limauan, Kinarut ditendang pelajar senior dipercayai selepas lambat masuk ke bilik asrama dalam kejadian pada malam 7 September lalu.

Berikutan insiden itu, ibu pelajar terbabit yang berusia 42 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September lalu sebelum laporan kedua di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Peguam mewakili ibu mangsa, Nurshalilah Fauzan Mailin, berkata kejadian dipercayai berunsur buli itu berlaku pada jam 11 malam, 7 September lalu di dalam sekolah berkenaan.

Katanya, mangsa pelajar lelaki mendakwa ditendang di perut, ditampar pipi dan ditumbuk hidung oleh seorang pelajar tingkatan empat sehingga mengakibatkan kecederaan.

Nurshalilah Fauzan (kiri) bersama ibu kepada mangsa buli ketika ditemui media selepas selesai membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu.

“Pada malam yang sama mangsa juga telah diminta untuk menggosok baju oleh seorang pelajar tingkatan 3 sekolah tersebut.

“Anak guam saya membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh salah seorang guru sekolah berhubung kejadian itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, beliau percaya dan yakin yang IPD Papar mungkin sedang menjalankan siasatan akan tetapi beberapa hari ini seolah-olah ada usaha cubaan untuk kes ini diselesaikan secara baik antara ibu bapa pelajar yang membuli dengan anak guamnya.

“Anak guamnya merasa seolah-olah terdapat usaha atau cubaan untuk kes itu diselesaikan secara baik di antara keluarga pelajar yang melakukan kesalahan dengan keluarga anak guamnya.

“Jika perkara ini diselesaikan sebegitu, kejadian buli akan terus berlaku tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil kepada pembuli atau pelajar yang melakukan kesalahan seperti ini,” katanya. – Info X