Search

Pelakon Mat Salleh Pahlawan Sabah meninggal dunia

May 24, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Pelakon filem Mat Salleh Pahlawan Sabah, Elias Agustine Lantau meninggal dunia pada usia 89 tahun di kediamannya di Kampung Barus Bohokon, di sini sebelum tengah hari tadi.

Berita pemergiannya disahkan oleh anak saudaranya, Mathew Leo, 60.

Mat Salleh Pahlawan Sabah adalah filem keluaran Sabah Film Productions pada 1983 yang mengangkat mendiang sebagai pelakon watak Mat Salleh hingga peminat lebih mengenalinya dengan nama itu berbanding nama sebenarnya.

Filem itu juga adalah lakonannya yang terakhir sebelum bersara daripada dunia lakonan dan perfileman.

Selain filem mengisahkan kepahlawanan Paduka Mat Salleh itu, mendiang juga pernah berlakon dalam beberapa filem Melayu pada 1970-an dengan filem pertamanya, Puaka arahan Omar Rojik ditayangkan pada 1973, diikuti beberapa lagi filem antaranya Si Buta (1975), Rashia Hati Ku (1975) dan Loceng Maut (1977).

Pembabitan aktifnya dalam arena lakonan perfileman Melayu pada masa itu meletakkan nama mendiang sebaris dengan pelakon ternama lain yang sering digandingkan dengannya seperti Maria Arshad, Hussein Abu Hassan, Tamam Idris, Sharifah Hanim, Dali Siliwangi, Maznah Ahmad, Merdawatie, Mariati, Mak Enon, M Amin dan Ali Rahman.

Mendiang yang kerap melakonkan watak jahat juga pernah ditawarkan berlakon oleh Shaw Brothers Ltd bersama-sama bintang filem terkenal Hong Kong, Chen Sing pada 1973.

Pencapaiannya sebagai bintang filem Melayu era 1970-an turut melakar sejarah tersendiri bagi mendiang kerana beliau menjadi pelakon pertama dari etnik Dusun Lotud atau Suang Lotud, berjaya menembusi dunia perfileman Melayu.

Sementera itu, ketika berusia 28 tahun, mendiang menceburi sukan bina badan dan pernah meraih gelaran Mr Sabah sebanyak lima kali antara 1963 hingga 1973. – Info X