KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) terus komited memperkukuhkan agenda pembangunan dakwah, pendidikan dan ekonomi menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA 2.0 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Pelan itu dilaksanakan susulan perbincangan pada bengkel pertama yang diadakan di sini pada Selasa, bagi memperhalusi Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, berkata pelan strategik kedua itu akan memperkukuhkan lagi enam fokus yang menjadi teras utama pelan pertama dahulu.
Fokus dikenali 6P itu ialah pembangunan semula bangunan USIA, penubuhan Pusat Pembangunan Komuniti, pembugaran Inisiatif Dakwah dan Pendidikan, penjanaan dan peningkatan ekonomi, pewujudan sistem pengurusan dan pangkalan data digital, serta pemerkasaan Pusat Latihan Dakwah.
“Kita memurnikan lagi enam fokus pelan strategik pertama ini yang kesemuanya sedang berjalan mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bengkel berkenaan di Pusat Konvensyan Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
Hadir sama Setiausaha Agung USIA, Datuk Iman Ali dan Ketua Penerangan USIA, Datuk Salsidu Ibrahim.
Bengkel itu dihadiri seramai 30 pimpinan dan pengurusan USIA yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
Sapawi berkata dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan secara menyeluruh, USIA akan melaksanakan penstrukturan semula pengurusan dan pentadbiran di peringkat pusat, zon serta bahagian seluruh negeri.
Katanya, ia termasuk penjemanaan program bahagian dakwah dengan kemungkinan mewujudkan semula jawatan Pengarah Dakwah Pusat.
“Sebelum ini kita ada pengarah dakwah di peringkat pusat tetapi agak lama tertangguh…maka kita cuba strukturkan semula supaya bahagian dakwah ini berfungsi dengan lebih berkesan,” katanya.
Mengenai ekonomi, beliau berkata USIA sudah memperakukan penubuhan sebuah yayasan dan namanya rasminya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Bagi tujuan pembangunan ekonomi, katanya, USIA juga akan memperkasa tanah-tanah dan aset yang masih terbengkalai untuk dibangunkan supaya ia menjadi salah satu sumber pendapatan yang kekal.
Katanya, salah satu daripada aset yang berjaya dimajukan USIA ialah tanah di Semporna yang kini dibangunkan menjadi hotel dengan kerjasama sebuah syarikat tersenarai di Bursa Saham.
Beliau berkata, beberapa aset lagi dikenal pasti untuk dimajukan, termasuk ada yang terbengkalai lebih 10 tahun.
Sapawi juga berkata USIA komited untuk menyokong usaha kerajaan, bukan saja dalam bidang dakwah tetapi juga pembangunan pendidikan dan sosial yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.
Untuk itu, katanya, USIA akan berkolaborasi dengan jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) lain yang mempunyai matlamat yang sama. – Info X