Search

Pelancong berbogel di balkoni ditahan

June 9, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Polis menahan seorang pelancong asing selepas tular rakaman video aksinya berbogel di balkoni sebuah bilik hotel di daerah ini, semalam.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan di hotel berkenaan, kira-kira jam 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku jam 8 pagi, 6 Jun lalu.

Katanya, suspek tanpa pakaian keluar ke balkoni sebuah bilik hotel yang menghadap jalan raya.

“Perbuatan lelaki itu dirakam oleh awam awam yang melalui jalan berkenaan sebelum video itu tersebar di media sosial.

“Susulan video berdurasi sembilan saat yang tular itu, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Farhan berkata, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan mengikuti Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan atas kesalahan berkelakuan lucah di tempat awam.

“Suspek kini direman mengikuti Seksyen 117 Kanun Prosedur jenayah selama empat hari sehingga 12 Jun 2023 untuk siasatan lanjut.

“Polis memohon orang awam yang merakam kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan. Maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Khadijah Mohd Seruji di talian 019-8718002 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di talian 089-781222/089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farhan berkata, polis menasihatkan pelanconh supaya mematuhi undang-undang negara serta menghormati adat dan budaya masyarakat tempatan.

“Kerjasama orang ramai dalam usaha mengekalkan keharmonian dan keselamatan daerah ini akat dihargai,” katanya. – Info X